Monday, March 14, 2005
CINTA. Ada apa dengan cinta.. ?
Persoalan yang sering bermain-main dan berlegar-legar di minda kita hari ini. Adakah dengan mempunyai seorang kekasih yang sentiasa bersama boleh dikatakan kita bercinta? Atau dengan mempunyai seekor kucing yang sangat kita sayangi juga boleh dikatakan kita bercinta? Atau bagaimanakah??? Marilah sama-sama kita rungkaikan persoalan2 itu.

Cinta menurut kamus dewan membawa kepada 4 maksud, maksud yang kedua adalah perasaan dan berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang ) antara lelaki dan perempuan. Menurut Abdullah Nasih Ulwan, cinta boleh dikategorikan kepada tiga iaitu cinta agung, cinta pertengahan, cinta hina. Di manakah status cinta kita?? Cinta agung adalah cinta kepada Allah dan Rasul melebihi cinta kepada kita sesama makhluk.
Seorang muslim yang memiliki cinta agung biasanya akan menyerahkan segala-gala yang dimilikinya hanya kerana Allah. Manakala cinta pertengahan adalah cinta kepada orang lain berdasarkan akidah. Cinta hina pula adalah mencintai perkara lain selain Allah serta menurut hawa nafsu dan tunduk kepada godaan syaitan.

Cinta bukan hanya sesama manusia tetapi juga kepada makhluk lain seperti haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan yang paling utama adalah cinta kepada pencipta seluruh alam iaitu Allah S.W.T. Cinta adalah anugerah Allah kepada setiap makhlukNya yang merupakan suatu fitrah yang suci dan bersih.

Skop cinta sangat luas untuk dibahaskan. Namun pada kesempatan yang sedikit ini, ingin saya membawa rakan-rakan sekalian merenung seketika kepada masalah yang sedang melanda kepada remaja kita pada hari ini iaitu isu couple atau isu bercinta di antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin. Persoalan yang ingin dibincangkan ialah adakah Islam melarang umatnya bercinta dengan bukan muhram sebelum menjadi pasangan suami isteri yang sah?

Pada dasarnya Islam tidak melarang umatnya untuk mencintai dan menyayangi antara lelaki dan perempuan. Ini kerana perasaan cinta itu adalah merupakan suatu naluri yang suci. Namun setiap pasangan itu perlu menjaga batas-batas yang disyariatkan oleh Islam. Antaranya ialah tidak keluar berdua-duaan walaupun bukan ditempat yang sunyi kerana ini boleh menimbulkan fitnah dan syaitan pasti menjadi orang ketiga yang mengajak kepada perlakuan mungkar. Tidak berpegang-pegangan tangan, tidak bertelefon terlalu lama sehingga lewat pagi dan membincangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu syahwat seperti bermanja-manja, memanggil pasangan dengan panggilan sayang,darling dan seumpamanya..

Setiap pasangan perlu menjaga batas-batas aurat dari segi suara, pakaian, tingkah laku dan lain-lain. Ini kerana status antara lelaki dan perempuan itu adalah ajnabi dan masih belum halal. Selain itu, dengan bercinta dapat meningkatkan prestasi kita dalam pelajaran,menjadikan diri kita lebih dekat kepada Allah, taat pada perintah Allah dan seumpamanya. Sekiranya kita mampu untuk menjaga batas-batas tersebut, maka ia dibolehkan tetapi jika tidak mampu maka lebih baik ditinggalkan daripada kita meletakkan diri kita di dalam kemurkaan Allah dan membawa diri kita kepada kancah kemaksiatan. Semuanya bergantung kepada diri sendiri, Tanya pada diri sendiri adakah mampu untuk menjaga syariat Islam? TEPUK DADA TANYA IMAN.
Bagaimanakah kita boleh katakan seseorang itu sedang bercinta?

Adakah kita tahu tanda-tandanya? Mari kita selidiki.

- Tumpu perhatian kepada seorang sahaja, seseorang yang menyintai Allah akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Allah.·
-Malu kepada orang yang dicintai. Cinta kepada Allah akan membuatkan kita malu untuk melakukan maksiat kepada Allah.·
-Sentiasa mengingati orang yang dicintai dan namanya sering disebut-sebut. Hati selalu mengingati dan menyebut nama Allah..·
-Tunduk pada perintah orang yang dicintai. Cepat menunaikan perintah Allah.· Bersabar menghadapi gangguan orang yang dicintai.
-Bersabar kerana Allah,akan dapat pahala tanpa hisab di akhirat.·
-Mencintai tempat dan rumah kekasih . Demikian orang yang cintakan Allah akan cintakan masjid dan majlis-majlis ilmu. Ini adalah tanda-tanda seseorang yang mencintai Allah dan mencintai sesama manusia. Namun cinta kepada Allah melebihi segala-galanya.

Wahai sahabat-sahabat yang sedang bercinta, janganlah terlalu mudah percaya pada pasangan kita sehingga sanggup berkorban apa sahaja dan meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada mereka , ini kerana belum pasti bahawa pasangan kita itu akan menjadi suami atau isteri kita pada masa hadapan. Ketahuilah bahawa Allah sudah menetapkan jodoh masing-masing bagi setiap hambanya. Serahkanlah segala-galanya pada Allah. Yakinlah dengan ketentuan qada’ dan qadar dari Allah.

Mohonlah pertolongan dan perlindungan dari Allah supaya perhubungan kita diberkati dan dirahmati serta diredhai oleh Allah dan dihindari daripada segala kemaksiatan. Ingatlah sesungguhnya Allah mengetahui dan melihat setiap perkara yang kita kerjakan.

Kepada sahabat-sahabat yang belum bercinta, jangan kita merasa resah gelisah. Ingatlah Allah sudah janjikan jodoh untuk setiap hambaNya. InsyaAllah akan ketemui jua suatu hari nanti. Tidak semestinya di kampus, mungkin ditempatkan kerja. Sentiasalah berdoa agar kita dipertemukan dengan insan yang baik. Sekiranya kita baik InsyaAllah akan berjumpa dengan orang yang baik begitu juga sebaliknya, maka kita perlulah sentiasa memperbaiki diri dari sehari ke sehari.

Ini adalah janji Allah kepada hambanya dan Allah tidak pernah memungkiri janji. Doa adalah senjata bagi orang yang beriman. Dengan doa akan dapat memberi kekuatan dan semangat pada kita untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah Taala: “mintalah kepada Ku nescaya akan Aku kabulkan.” (Al-Mukmin:60).

Firman Allah lagi: “dan kepada mereka yang yang benar berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami ( petunjuk) sesungguhnya Allah benar-benar bersama dengan orang yang berbuat baik.”(Al-Ankabut:69).

Di sini dapat kita simpulkan bahawa Islam bukan hanya mengharamkan zina bahkan mengharamkan juga perkara-perkara yang mendekatkan diri kita kepada zina dengan ungkapan jangan mendekati zina jangan mendekati yang keji. Marilah kita saling nasihat menasihati agar kita di selamatkan dari kemurkaan Allah SWT, dan bekerjasama untuk membenteras kemaksiatan dan perkara – perkara yang boleh mendorong kepada kemaksiatan. Marilah kita mengamalkan cara hidup dan budaya Islam sekiranya kita mahu mengubati pelbagai penyakit yang menimpa masyarakat Islam kita hari ini.WAALLAHUALAM

dipetik dari: Ikim.net
 
posted by Nurdiyana at 3:23 PM |


0 Comments: